Apakah Banjir Besar di Zaman Nabi Nuh Menenggelamkan Seluruhan Manusia di Muka Bumi? Ini Penjelasannya

Diposting pada

Pertanyaan:
Apakah azab banjir besar yang telah menimpa kaum Nabi Nuh AS juga menenggelamkan seluruhan manusia di muka bumi ini?

Jawaban:
Al-Quran secara jelasnya menggambarkan bahawa apa yang ada di atas bumi ini telah ditenggelami oleh air ketika berlakunya peristiwa banjir besar yang menimpa kaum Nabi Nuh AS. Tidaklah terselemat dari kalangan manusia mahupun haiwan kecuali yang telah berada di atas bahtera Nabi Nuh AS.

Al-Quran menyebutkan mengenai kisah Nabi Nuh AS pada beberapa tempat di dalamnya. Kami nyatakan di sini sebahagian daripadanya:

Pertama

Di dalam Surah Al-Syu’aara’ Allah befirman:

فَأَنجَيْنَاهُ وَمَن مَّعَهُ فِي الْفُلْكِ الْمَشْحُونِ () ثُمَّ أَغْرَقْنَا بَعْدُ الْبَاقِينَ

“Maka Kami selamatkan dia (Nabi Nuh) dan orang-orang yang bersama-sama dengannya dalam bahtera yang penuh sarat (dengan berbagai makhluk). Kemudian daripada itu, Kami tenggelamkan golongan (kafir) yang tinggal (tidak turut bersama dalam bahtera).” (QS. Al-Syu’ara: 119-120)

Kedua

Di dalam Surah Huud Allah berfirman Allah:

حَتَّىٰ إِذَا جَاءَ أَمْرُنَا وَفَارَ التَّنُّورُ قُلْنَا احْمِلْ فِيهَا مِن كُلٍّ زَوْجَيْنِ اثْنَيْنِ وَأَهْلَكَ إِلَّا مَن سَبَقَ عَلَيْهِ الْقَوْلُ وَمَنْ آمَنَ ۚ وَمَا آمَنَ مَعَهُ إِلَّا قَلِيلٌ

“Hingga apabila perintah Kami datang dan tanur (dapur) telah memancarkan air, Kami berfirman, ‘Muatkanlah ke dalamnya (kapal itu) dari masing-masing (hewan) sepasang (jantan dan betina), dan (juga) keluargamu kecuali orang yang telah terkena ketetapan terdahulu dan (muatkan pula) orang yang beriman.’ Ternyata orang-orang beriman yang bersama dengan Nuh hanya sedikit.” (QS. Huud: 40)

Ketiga

Di dalam Surah Yunus Allah berfirman:

فَكَذَّبُوهُ فَنَجَّيْنَاهُ وَمَن مَّعَهُ فِي الْفُلْكِ وَجَعَلْنَاهُمْ خَلَائِفَ وَأَغْرَقْنَا الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا ۖ فَانظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُنذَرِينَ

“Kemudian mereka mendustakannya (Nuh), lalu Kami selamatkan dia dan orang yang bersamanya di dalam kapal, dan Kami jadikan mereka itu khalifah dan Kami tenggelamkan orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang diberi peringatan itu.” (QS. Yunus: 73)

Keempat

Di dalam Surah As-Saffaat Allah telah berfirman:

وَجَعَلْنَا ذُرِّيَّتَهُ هُمُ الْبَاقِينَ () وَتَرَكْنَا عَلَيْهِ فِي الْآخِرِينَ () سَلَامٌ عَلَىٰ نُوحٍ فِي الْعَالَمِينَ () إِنَّا كَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ () إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَا الْمُؤْمِنِينَ

“Dan Kami jadikan anak cucunya orang-orang yang melanjutkan keturunan. Dan Kami abadikan untuk Nuh (pujian) di kalangan orang-orang yang datang kemudian; ‘Kesejahteraan (Kami limpahkan) atas Nuh di seluruh alam’. Sungguh, demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sungguh, dia termasuk di antara hamba-hamba Kami yang beriman.” (QS. as-Saffaat: 77-81)

Berdasarkan nas-nas di atas, kami kemukakan di sini beberapa pendapat ahli tafsir yang terkemuka:

Al-Imam Ibn Kathir (wafat 774 H) Rahimahullah menyebut di dalam tafsirnya: “Telah berkata Ali bin Abi Talhah daripada Ibn Abbas R.Anhuma: Tidak ada yang kekal tinggal melainkan zuriat Nuh AS”. [Lihat Tafsir Al-Quran Al-‘Azhim. Dar al-Taybah, 7/22]

Begitu juga dengan nukilan Qatadah Rahimahullah yang mana telah berkata: “Keseluruhan manusia itu, kesemuanya daripada zuriah Nuh AS”. [Lihat Tafsir Al-Quran Al-‘Azhim. Dar al-Taybah, 7/22]

Allah tidak menjadikan bagi mereka yang mengikuti Nabi Nuh AS dari kalangan orang yang mukmin beranak-pinak kecuali ianya lahir dari zuriat Nabi Nuh AS sahaja. Adapun yang berada di atas muka bumi ini dari sekalian jenis Bani Adam AS dinisbahkan kepada anak Nabi Nuh AS iaitu Saam, Haam dan Yaafith. [Lihat Ibn Kathir. Al-Bidayah wa al-Nihayah. Dar al-Ihya’ al-Turath al-’Arabi, 1/130]

Ibn ‘Asyour Rahimahullah di dalam tafsirnya menyebut: “Dhomir (kata ganti diri) yang terpisah pada kalimah هُمُ الْبَاقِينَadalah untuk al-Hasr (penetapan sesuatu) iaitu membawa maksud tidak ada yang kekal tinggal daripada kalangan manusia kecuali yang telah Allah selamatkan bersama-sama Nabi Nuh AS di dalam bahteranya dan kemudian mereka yang berkembang biak dari kalangan mereka.

Tidak kekal sekalian anak Bani Adam AS melainkan zuriat Nabi Nuh AS dan sekalian umat ini daripada anak-pina Nabi Nuh AS yang tiga itu (Saam, Haam dan Yaafith).

Jelasnya, dikalangan orang yang beriman bersama Nabi Nuh AS tidaklah berkembang keturunannya. Ini juga membawa maksud bahawa banjir besar yang berlaku tertimpa kepada sekalian manusia dan telah menghapuskan sekalian manusia kecuali mereka yang bersama-sama Nabi Nuh AS di dalam bahteranya”. [Lihat Al-Tahrir wa al-Tanwir. Al-Dar al-Tunisiyyah li al-Nashr, 23/47]

Al-‘Allamah al-Syeikh al-Amin al-Syanqiti Rahimahullah juga mengatakan di dalam tafsirnya bahawa zuriat yang yang ada bersama-sama dengan Nabi Nuh AS tidak kekal melainkan zuriat keturunan Nabi Nuh AS. [Lihat Adhwa’ al-Bayan, 3/13]

Adapun mengenai tempoh berlakunya banjir besar tersebut, setakat pencarian kami, ianya berlaku selama 150 hari. Kami nukilkan di sini riwayat yang telah dibawakan oleh al-Imam Ibn Kathir (wafat 774H) Rahimahullah di dalam kitabnya, al-Bidayah wa al-Nihayah yang mana menyebut:

Diriwayatkan daripada ‘Ilba’ bin Ahmar, daripada Ikrimah, daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma telah berkata: “Adalah bersama-sama Nuh itu di dalam bahteranya 80 orang lelaki bersama ahli keluarga mereka dan mereka berada di dalam bahtera selama 150 hari…”.

Begitu juga dengan pendapat Qatadah Rahimahullah dan selainnya yang mana menyebut: “Mereka menaiki bahtera pada hari kesepuluh daripada bulan Rejab dan kemudian berlayar selama 150 hari dan kemudian menetap di atas Bukit al-Judiy selama sebulan.

Adalah mereka keluar dari bahtera pada hari kesepuluh pada bulan Muharram dan Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan riwayat yang marfu’ yang mana mereka berpuasa pada hari tersebut”. [Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah. Dar Hajr, 1/272-273]

Di dalam isu ini, terdapat juga pendapat sebahagian kecil pandangan ulama yang mengatakan banjir besar yang tertimpa kepada kaum Nabi Nuh AS bersifat tidak menyeluruh, bermakna ianya tidak tertimpa kepada keseluruhan manusia berdasarkan kepada beberapa nas secara umum.

Namun pendapat tersebut tidak bersifat khusus dari segi pendalilan berbanding pendapat jumhur. Antara hujahnya ialah firman Allah:

… وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ نَبْعَثَ رَسُولًا

“… Kami tidak akan mengazab sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).” (QS. al-Isra’: 15)

Kesimpulan

Melihat kepada zahir nas dan pendapat para ulama’ mengenainya, dapat kami katakan di sini bahawa taufan banjir yang melanda kaum Nabi Nuh AS telah menghapuskan sekalian manusia yang ada kecuali mereka yang bersama-sama dengan Nabi Nuh AS di dalam bahteranya.

Namun sebenarnya bukan itu yang perlu kita fokuskan, seharusnya peristiwa azab yang menimpa kaum Nabi Nuh AS ini perlu dilihat dari aspek bagaimana sesuatu kaum itu di azab kerana menyalahi dakwah seorang utusan yang telah diutuskan oleh Allah dan menjadi pengajaran buat umat selepasnya agar berpegang teguh dengan dakwah yang telah dibawakan oleh para Anbiya’.

Semoga Allah memberi taufiq dan hidayah kepada kita dalam menjalani kehidupan di dunia dengan meraih mardhatillah. Amin.

Wallahu a’lam.

Sumber

loading...

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *